Sunday 23 December 2012

kisah minggu ini.. ^^

Assalamualaikum wbt...

tiba-tiba, terdetik di hati dan akal saya untuk berkongsi sesuatu.. kelmarin, bersamaan dengan 22 hb Disember 2012, saya pergi ke kedai runcit berdekatan rumah bersama emak. ketika sedang memilih barang, saya disapa oleh seorang pekerja di situ. katanya, mujur awak(saya) tidak membeli lilin tempoh hari. ayatnya bukan macam ni la. tapi mempunyai maksud yang sama. fikiran saya bingung memikirkan ayat yang beliau lafazkan sebentar tadi. akal saya perlahan-lahan cuba mencerna ayat tersebut. namun gagal. haha. kemudian emak saya ketawa. kepala saya yang bingung terus menjadi pusing. saya menaikkan kening tanda meminta penjelasan dari emak.

perlahan-lahan emak menjelaskan, kata emak, "ingat tak akak bersembang tentang kiamat hari tu?" haha. semerta, ingatan saya terimbau.

beberapa hari sebelum itu, saya dan emak pernah ke kedai yang sama. dan ketika hendak membayar harga barangan, kami disapa oleh pemilik kedai tersebut. agamanya, biarlah dirahsiakan. cuma beliau bukan seorang Islam. beliau menyarankan saya agar membeli beberapa batang lilin untuk dijadikan simpanan. dahi saya berkerut, lantas saya meminta penjelasan untuk kewajaran hal itu. kemudian beliau menjelaskan, katanya, dua-tiga hari sebelum ini, ramai pelanggannya yang datang untuk membeli lilin dan bahan-bahan makanan seperti roti dan sebagainya. kata mereka, masa untuk dunia musnah hampir tiba dan bumi akan bergelap selama beberapa hari. saya memandang emak, dan kami bertukar senyuman. saya membalas, saya tak percaya tentang ramalan kiamat itu dan ramalan tentang bumi akan bergelap itu hanya akan saya percaya jika disokong oleh fakta-fakta saintifik.

pemilik kedai itu tersenyum. katanya, beliau sudah mengagak bahawa saya tidak akan percaya tentang hal itu. katanya, beliau juga tidak mempercayainya tetapi, ketika melihat reaksi pelanggan-pelanggan yang menceritakan tentang perkara itu, rasa percaya hadir perlahan-lahan dalam dirinya. saya hanya ketawa. kemudian saya menjelaskan, sebenarnya, terpulang pada diri seseorang. kalau nak percaya, percayalah. kalau tak nak percaya, tak payah la percaya. beliau mengangguk perlahan seraya berkata, "kalau u taknak percaya, saya pun taknaklah". ketawa besar saya mendengar kata-kata beliau.

sebagai umat Islam, kita WAJIB mempercayai kiamat. sedangkan dalam rukun iman yang kelima juga menyebut, beriman kepada hari akhirat/kiamat. kalau tak percaya, maka tidak lengkaplah iman kita sebagai seorang muslim/muslimah. tetapi, kita tidak boleh percaya pada ramalan-ramalan yang mengatakan bahawa tarikh sekian-sekian akan berlakunya kiamat. itu semua kerja Allah SWT. kita sebagai hamba, seharusnya menyiapkan diri untuk menghadapi akhirat. bukannya sibuk meramal bila akan berlakunya kiamat.

pening sungguh saya dengan masyarakat yang percaya pada ramalan-ramalan seperti ini.

itu kisah pertama yang terjadi minggu ini. kisah kedua,

beberapa hari lepas, saya dan keluarga keluar membeli barang-barang keperluan sekolah. kemudian singgah di sebuah kedai makan untuk makan tengah. ketika menunggu pesanan tiba, kami didatangi seorang pemuda yang kurang siuman yang kemudiannya bertanya mengenai umur saya dan adik. saya hanya tersenyum sambil memberitahunya. kemudian tanpa disangka-sangka, beliau menyuruh saya dan seisi keluarga menadah tangan untuk berdoa. sungguh saya terharu apabila pemuda itu berdoa agar saya dan adik berjaya dalam peperiksaan dan hidup kami sekeluarga dilimpahi rahmat dan redha ilahi. panjang sungguh doanya. usai mengaminkan doa, bapa saya mengajaknya makan sekali. namun beliau menolak dan terus bangun untuk ke meja bersebelahan kami untuk berdoa kepada mereka pula. sebelum beliau beredar, bapa saya sempat menyelitkan beberapa not wang ke tangannya ketika beliau sedang bersalaman dengan bapa saya. keletahnya amat comel di mata saya kerana beliau terus meloncat kegembiraan dan terus memeluk bapa saya sambil bibirnya tidak putus-putus mengucapkan terima kasih.

ketika kami sedang menjamah makanan, bapa saya memberitahu, sebenarnya bapa saya mengenali pemuda tersebut. umurnya 20 tahun. dan sudah beberapa kali bapa saya menghantarnya ke balai polis apabila bertemunya yang sedang merayau ketika malam. kata bapa lagi, ayah pemuda tersebut telah meninggal dunia. ketika kecil, beliau normal, namun setelah diserang demam panas ketika bayi, beliau berubah menjadi seorang yang  kebudak-budakkan seperti itu. beliau kini tinggal bersama ibunya yang sibuk bekerja. kerana itulah beliau sering berkeliaran di situ. kami hanya mengangguk mendengar butir bicara bapa saya. kemudian mata saya beralih kepada pemuda berkenaan, tersirap darah saya apabila memerhatikan beberapa orang pelanggan kedai itu yang bertindak menghalaunya dari meja mereka. emak yang menyedari reaksi muka saya menegur, kata emak, tak boleh salahkan orang yang menghalaunya seratus peratus. sesetengah orang mungkin mempunyai masalah sendiri atau tidak mengetahui niat baik pemuda itu yang ingin mendoakan kesejahteraan mereka. sesetengah juga mungkin tidak selesa diganggu orang ketika makan. rambut sama hitam, hati dan pemikiran orang lain-lain. kemudian beliau kembali ke meja saya dan kami sempat bersembang. beliau menolak apabila kami mengajaknya makan kerana katanya, perut sudah kenyang. haha. ketawa saya mendengarnya.

ketika berada dalam kereta, bapa saya berkata, cuba bayangkan kalau tiada orang seperti itu di dunia ini. saya hanya menjongketkan kening tanda meminta penjelasan selanjutnya. kata bapa, orang seperti itulah yang sebenarnya menceriakan bumi Allah ini. orang seperti mereka tiada dosa. gerenti syurga. doanya pun mudah makbul kerana mereka ikhlas. kalau tiada orang seperti mereka, siapa yang akan mendoakan kita, gurau bapa saya. kemudian emak pula mengusik, " tu mesti nak tulis kat blog nanti"  haha. kan betul tekaan emak tu. emak memang memahami! haha  ^_^

sebenarnya banyak yang kita boleh belajar dari kehidupan sekeliling. cuma kita perlu lebih peka dan memandang sekeliling dan bukannya hanya diri sendiri.

hari ni saya pergi membeli belah. saja cuci mata dan berjalan untuk menghilangkan penat tuisyen beberapa minggu kebelakangan ini. gembiranya rasa hari bila dapat kumpul semua buku La Tahzan (jangan bersedih)
dan beberapa novel..hadiah buat diri sendiri.. haha. sampai kaki saya pun terseliuh sebab terlalu excited ke sana ke mari. ^_^

oh ya, baru saya teringat, seorang sahabat, Najiha Abdul Aziz, ada meminta saya menulis mengenai sesuatu di ruangan ini. tetapi saya terlupa.hanya baru-baru ini saya teringat. maafkan saya jiha, nanti kita tulis sama-sama, iya? :)


sekolah dah nak mula. kecut perut buatnya memikirkan kehidupan selaku pelajar tingkatan lima yang bakal ditempuhi..haha

sekian, Barakallahu fii kum..

Assalamualaikum wbt

No comments:

Post a Comment